PETALING JAYA, 21 Jun - Kejohanan KRS-MSNS 2025 Division Wanita bukan sahaja menyaksikan kehebatan fizikal di padang, malah mencerminkan gelombang baharu dalam memperkasakan wanita menerusi sukan ragbi yang dilihat sinonim dengan kaum lelaki.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfal Saari berkata apabila ruang dan peluang sama rata disediakan, potensi wanita dalam sukan dapat diserlahkan terutama dalam acara yang sebelum ini didominasi lelaki.
"ini adalah salah satu usaha untuk kita mencungkil bakat-bakat dan juga saya kira adalah sokongan bahawa wanita juga boleh terlibat sama dalam apa jua sukan dan apabila kita mewujudkan platform ataupun ruang lantai yang sama rata saya kira ini juga adalah untuk mengiktiraf bahawa wanita itu sama-sama menyumbang dalam arena sukan walaupun termasuk dalam rugby,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan infrastruktur, bajet dan sinergi antara agensi negeri dalam memastikan kelestarian pembangunan atlet wanita ke peringkat lebih tinggi, termasuk dalam temasya besar seperti Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang bakal berlangsung di Selangor.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian piala pusingan, Kejohanan KRS-MSNS 2025 Division Wanita semalam.
Cobra Venom berjaya mencipta sejarah merangkul kejuaraan sulung kejohanan selepas menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan keputusan 26 berbalas 12 dalam aksi final yang berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya.