fb fb fb fb fb

Speedy Tigers gagal ke separuh akhir

Speedy Tigers gagal ke separuh akhir walaupun menang 2-1 ke atas Jepun - Foto FB FIH

KUALA LUMPUR, 18 Jun - Impian skuad hoki lelaki negara untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025, lebur meskipun mencatat kemenangan 2-1 ke atas Jepun dalam aksi kalah mati Kumpulan B, hari ini.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga dengan berkongsi mata bersama Pakistan.

Namun, Pakistan berjaya menduduki tangga kedua menerusi kelebihan jaringan, sekali gus mengiringi New Zealand ke separuh akhir.

Malaysia pula terpaksa akur beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.

Jurulatih Hoki kebangsaan, Sarjit Singh, tetap berpuas hati dengan prestasi pemain namun menekankan kepentingan untuk segera bangkit dan fokus kepada aksi seterusnya.

1806 SKN HOKI FIH MSIA GAGAL KE SEMI 1Malaysia mendahului seawal minit ke-5 perlawanan - FB FIH

“Saya rasa pemain bermain dengan baik. Kita tahu kita perlukan kemenangan 2-0, atau jika tidak, kita perlu menang 3-2. Sebab itu saya tekankan kepada pemain bahawa gol ketiga sangat penting, dan kita memang ada peluang ke arah itu.

"Malangnya, nasib tidak menyebelahi kita. Saya sendiri tidak tahu macam mana bola tu tak masuk. Tapi sekarang, kita kena alih fokus dan pastikan kita dapat tempat kelima,” katanya.

Sarjit bagaimanapun bangga dengan semangat ditunjukkan pemain meskipun sasaran utama ke separuh akhir tidak tercapai.

“Sebagai jurulatih, saya bangga dengan mereka. Mereka beri segalanya. Kita kawal sepenuhnya permainan kecuali satu kesilapan di bahagian tepi sepatutnya bola dipukul keluar, tapi dia cuba bawa masuk dan kita dihukum.

"Itu perkara biasa dalam permainan. Tapi inilah hoki. Kita sedang membina satu pasukan yang baik. Ia sedang terbentuk..sekarang," katanya.

Malaysia dijadual bertemu Afrika Selatan pada Jumaat ini dalam aksi klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.

Pada saingan hari ini, Speedy Tigers bermula garang apabila Norsyafiq Sumantri menyempurnakan gerakan solo Fitri Saari seawal minit ke-5 untuk membuka tirai jaringan.

Gol kedua pula hadir pada minit ke-26 menerusi sentuhan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal hasil hantaran cantik Shello Silverius, meletakkan Malaysia selesa mendahului 2-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

1806 SKN HOKI FIH MSIA GAGAL KE SEMI 2
Speedy Tigers akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan - FB FIH

Memasuki separuh masa kedua, Jepun mula meningkatkan tekanan dan meraih empat pukulan sudut penalti dalam suku ketiga, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan.

Mereka akhirnya berjaya merapatkan jurang apabila Koji Yamasaki menjaringkan gol pada minit ke-56 selepas bijak mencari ruang dalam kawasan D.

Walaupun berjaya mempertahankan kedudukan 2-1 hingga wisel penamat, Malaysia tetap gagal layak ke separuh akhir.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK