FLORIDA, 19 Jun-Real Madrid terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Al-Hilal dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Kelab yang berlangsung dalam cuaca panas melampau pada Rabu.
Perlawanan itu turut menandakan penampilan sulung Xabi Alonso selaku pengurus Real.
Gonzalo Garcia, yang menggantikan Kylian Mbappe, membuka tirai jaringan buat Real Madrid dengan penyudah tenang pada minit ke-34 hasil hantaran Rodrygo selepas satu gerakan yang menarik.
Garcia, pemain berusia 21 tahun yang menggantikan Mbappe, mempamerkan prestasi mengagumkan sebagai penyerang utama. Sebaliknya, pembelian baharu Real, Trent Alexander-Arnold, dilihat bergelut menyesuaikan diri dan gagal menyerlah dalam penampilan sulungnya.
Namun, semangat juang tinggi Al-Hilal membuahkan hasil empat minit sebelum rehat apabila Ruben Neves menyempurnakan sepakan penalti selepas Raul Asencio menarik Marcos Leonardo di dalam kotak penalti.
Real Madrid terlepas peluang untuk memungut tiga mata pada lewat perlawanan selepas dianugerahkan penalti hasil semakan VAR selepas Mohammed Al-Qahtani menyentuh bola dengan tangan ketika mencabar Fran Garcia.
Namun sepakan Federico Valverde yang lemah berjaya diselamatkan penjaga gol Al-Hilal, Yassine Bounou.
Real menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa kedua dan hampir menambah jaringan apabila cubaan Arda Guler terkena palang, manakala satu lagi percubaan Garcia dinafikan Bounou.
Seawal permainan, Al-Hilal tampil garang dengan beberapa percubaan berbahaya di kawasan penalti Real.
Salem Al-Dawsari hampir mencipta jaringan peribadi dengan larian lincah ke dalam kotak penalti sebelum Aurelien Tchouameni melakukan terjahan penting. Jaringan Al-Hilal juga dibatalkan kerana ofsaid.
Real Madrid kini akan berdepan kelab Mexico, Pachuca, pada Ahad ini.
Manakala Al-Hilal pula akan menentang RB Salzburg.-REUTERS.