fb fb fb fb fb

Tenis Kejohanan Queen's Club: Draper mara ke suku akhir

Bintang tenis Britain, Jack Draper mara ke suku akhir Kejohanan Queen's Club selepas menumpaskan wakil Australia, Alexei Popyrin 3-6, 6-2, 7-6(5) / Foto REUTERS

LONDON, 19 Jun-Pemain pilihan kedua dari Britain, Jack Draper, bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Alexei Popyrin 3-6, 6-2, 7-6(5) bagi menempah slot ke suku akhir Kejohanan Queen’s Club pada Rabu.

Pada perlawanan tersebut, Popyrin bermula lebih baik apabila mematahkan servis Draper untuk mendahului 5-4 sebelum menamatkan set pertama dengan kemenangan.

Namun, Draper bangkit untuk menang set kedua dengan memenangi empat permainan berturut-turut.

Set penentuan menyaksikan persaingan seimbang apabila Draper memiliki dua mata kemenangan ketika Popyrin sedang melakukan servis, tetapi pemain Australia itu bangkit menyamakan kedudukan 5-5.

Dalam penentuan ‘tiebreak’, kedua-dua pemain saling mematahkan servis lawan masing-masing sebelum Draper memperoleh kelebihan 6-5 dan menamatkan perlawanan dengan ace ke-10 miliknya.

Draper kini bakal berdepan pemain Amerika Syarikat, Brandon Nakashima, yang menewaskan wildcard Britain Dan Evans 7-5, 7-6(4).

Sementara itu, pemain muda Republik Czech, Jakub Mensik, tewas 3-6, 6-3, 7-5 kepada pemain veteran Sepanyol, Roberto Bautista Agut.

Mensik, yang mencipta kejutan menjuarai Miami Open Mac lalu dengan menewaskan Novak Djokovic di perlawanan akhir pernah mengalahkan Bautista Agut di pusingan pertama kejohanan itu.

Namun kali ini, pemain berusia 19 tahun itu kelihatan hilang fokus apabila Bautista bangkit selepas ketinggalan satu set untuk menguasai permainan.

Bautista Agut akan bertemu pilihan keempat dari Denmark, Holger Rune, yang mara selepas menundukkan pemain kelayakan dari Amerika Syarikat, Mackenzie McDonald 2-6, 6-1, 6-1 dalam aksi di Arena Andy Murray.

Rune mempamerkan aksi bertenaga dengan 10 ace dalam set kedua dan turut mendahului 4-0 dalam set penentuan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD