fb fb fb fb fb

KBS komited pacu pembangunan sukan tenis

Hannah Yeoh bersama pasukan negara yang menyertai Kejohanan Kumpulan II, Piala Billie Jean King Asia/Oceania 2025 - FB Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 18 Jun - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam memacu sukan berprestasi tinggi ke hadapan.

Menterinya, Hannah Yeoh dalam satu kenyataan di laman Facebook rasminya hari ini, memaklumkan usaha itu termasuk memperkukuh sokongan melalui Geran Padanan Sukan (GPS).

Beliau berkata, antara yang menerima sokongan berkenaan adalah sukan tenis dengan peruntukan disalur kepada Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).

1806 SKN HANNAH GERAN TENIS 2Kejohanan Piala Billie Jean King Asia/Oceania 2025 berlangsung dari 16 hingga 21 Jun ini - FB Hannah Yeoh

"Pada tahun 2024, sejumlah RM53,000 telah diperuntukkan kepada LTAM, manakala sebanyak RM95,000 diberikan bagi tahun 2025.

"Secara keseluruhan, sukan tenis telah menerima peruntukan GPS sebanyak RM367,000 (2024) dan RM230,000 (2025)," katanya.

Hannah berkata, peruntukan itu bukan sekadar angka, tetapi merupakan pelaburan strategik untuk menyokong penyertaan atlet muda dan membentuk program pembangunan jangka panjang.

"Saya yakin dengan kerjasama kukuh antara KBS, pihak berkepentingan yang relevan, dan komuniti tenis, Malaysia akan melahirkan juara bertaraf dunia yang akan mengukir nama di pentas antarabangsa suatu hari nanti," katanya.

1806 SKN HANNAH GERAN TENIS 3
Hannah Yeoh merasmikan Piala Billie Jean King Asia/Oceania 2025 Isnin lalu

Dalam kenyataan itu, beliau turut berkongsi mengenai Kejohanan Kumpulan II, Piala Billie Jean King Asia/Oceania 2025 di Pusat Tenis Kebangsaan yang dirasmikannya Isnin lalu di Pusat Tenis Nasional, di ibu negara.

Kejohanan itu berlangsung selama enam hari bermula 16 hingga 21 Jun ini membabitkan 10 negara termasuk Malaysia.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK