fb fb fb fb fb

SpaceX Crew-11 berjaya berlabuh di ISS

FOTO NASA

FLORIDA, 3 Ogos - Misi NASA-SpaceX Crew-11 berjaya berlabuh ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), sehari selepas pelancarannya dari Pusat Angkasa Kennedy, Florida.

Rakaman pada Sabtu menunjukkan kapsul Crew Dragon berlabuh di modul Harmony hanya 15 jam selepas dilancarkan, sebelum disusuli dengan majlis sambutan kru baharu.

“Kami sangat gembira melihat wajah kalian yang tersenyum. Zena, Oleg, tahniah atas penerbangan angkasa pertama anda. Mike dan Kimiya, selamat kembali. Pengalaman anda pasti menjadi aset penting bagi Ekspedisi 73. Kita ada tempoh penyerahan tugas yang sibuk, tetapi saya teruja untuk bekerjasama dengan kalian semua,” kata angkasawan JAXA dan Komander Ekspedisi 73, Takuya Onishi.

Misi Crew-11 membawa empat angkasawan iaitu Zena Cardman dan Mike Fincke dari NASA, Kimiya Yui dari JAXA Jepun, serta Oleg Platonov dari Roscosmos Rusia.

Kru tersebut akan menjalankan penyelidikan dan ujian bagi menyokong misi angkasa masa depan, termasuk kajian mengenai sel stem, nutrien, dan virus dalam keadaan mikrograviti.

Dengan ketibaan Crew-11, jumlah angkasawan di ISS buat sementara waktu meningkat kepada 11 orang sebelum menggantikan pasukan Crew-10 yang dijadual pulang ke Bumi dalam masa terdekat.- VIORY

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE