KUALA LUMPUR, 22 September - Hasrat beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie merangkul gelaran juara musnah selepas hanya meraih gelaran naib juara badminton Terbuka China, sebentar tadi.
Pasangan di ranking ke-12 dunia itu tewas kepada wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 21-16, 14-21, 17-21 pada aksi final di Pusat Sukan Olimpik Changzhou.
Pada set pertama, pasangan negara beraksi kemas dengan mendahului 15-11.
Sehingga memberi tekanan kepada pasangan China dengan memenangi set pertama 21-16.
Bersambung set kedua, Soon Huat-Shevon kelihatan sedikit gugup dengan melakukan beberapa kesilapan mudah dengan hingga membenarkan pasangan China menang 21-14 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga terus berlangsung sengit dengan Soon Huat-Shevon yang ketinggalan berjaya menyamakan kedudukan 7-7.
Bagaimanapun, pengalaman yang dimiliki Yan Zhe-Dong Ping berjaya menoktahkan kemenangan dengan keputusan 21-17.
Kekalahan itu meleburkan impian Soon Huat-Shevon untuk muncul beregu campuran pertama Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu sejak ia diperkenalkan pada 1986.
Untuk rekod, kali terakhir wakil Malaysia muncul juara adalah menerusi bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei yang mengungguli saingan edisi 2015.
Selaku naib juara, Soon Huat-Shevon berpuas hati dengan hadiah wang tunai AS$70,000 (RM294,360) berserta trofi manakala Yan Zhe-Dong Ping meraih AS$148,000 (RM622,361) dan juga trofi.