LIVERPOOL, 12 Disember – Pengurus Liverpool, Arne Slot akan bertemu Mohamed Salah bagi menentukan sama ada penyerang itu akan diturunkan dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Brighton & Hove Albion pada Sabtu, susulan ketegangan yang tercetus sejak minggu lalu.
Pertemuan itu diadakan selepas Salah mengkritik kelab susulan keputusan seri 3-3 menentang Leeds United, sekali gus mencetuskan spekulasi tentang masa depannya di Anfield.
Liverpool kini berada di tangga ke-10 liga dengan 23 mata daripada 15 perlawanan.
Salah turut diketepikan ketika kemenangan 1-0 ke atas Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara pada Selasa.
Slot menegaskan beliau “tidak mempunyai sebab” untuk mahu Salah meninggalkan kelab, namun enggan memberikan jaminan mengenai status pemain itu.
Beliau turut memaklumkan keputusan tidak membawa Salah ke Milan dibuat oleh pihak kelab, namun penentuan barisan pemain kekal di bawah bidang kuasanya.
Dalam perkembangan lain, status Alexander Isak masih diragui selepas mengalami kecederaan ketika menentang Inter, manakala Federico Chiesa kembali pulih untuk aksi hujung minggu ini.
Wataru Endo dan Cody Gakpo pula dijangka berehat selama beberapa minggu.
Salah, yang digelar “Raja Mesir”, bakal menyertai kem negara untuk Piala Negara-Negara Afrika pada Isnin, meninggalkan Liverpool untuk cuba mengekalkan rekod tidak kalah empat perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan. -REUTERS