fb fb fb fb fb

Skuasy Klasik London: Sivasangari singkir pemain nombor 1 dunia El Sherbini

Foto: FB Squash - PSA World Tour

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Jaguh skuasy wanita negara S. Sivasangari meneruskan rentak cemerlang pada edisi sulung Kejohanan Skuasy Klasik London dengan menyingkirkan pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini dari Mesir di peringkat suku akhir, pada Sabtu.

Juara Sukan Asia 2022 itu mengambil masa 24 minit untuk mencipta kejutan ke atas El Sherbini 11-9, 11-9, pada pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf Emas di Alexandra Palace, London.

Pemain nombor 16 dunia itu berpeluang mencipta satu lagi kejutan ke atas pemain yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia apabila dijadual bertemu pemain nombor empat dunia dari Belgium Nele Gilis di separuh akhir, hari ini.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi suku akhir Gilis bangkit daripada ketinggalan untuk menyingkirkan pemain tuan rumah, Gina Kennedy, 6-11, 11-6, 11-3.

Bercakap kepada PSA selepas perlawanan, Sivasangari masih tidak percaya dapat mengalahkan juara dunia tujuh kali, El Sherbini buat kali pertama selepas tiga pertemuan.

"Ia tidak masuk akal. Saya amat menghormati El Sherbini, beliau terbaik dalam kejohanan dan benar-benar berbakat.

“Untuk menewaskan pemain seperti itu, hari ini saya berjaya capai kecemerlangan dalam pertandingan,” katanya.

Dengan kemenangan ini, pemain berusia 25 tahun itu juga muncul sebagai pemain pertama di luar ranking 10 terbaik dunia menewaskan pemain Mesir itu sejak Annie Au dari Hong Kong semasa pusingan pertama Kejonanan Cleveland Classic 2015 di Ohio, Amerika Syarikat. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI