KUALA LUMPUR, 31 Mac - Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menafikan laporan bahawa beliau telah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meninggalkan pasukan negara.
Pengendali dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu berkata, perkara itu tidak benar dan beliau terus komited membimbing pasukan negara sehingga kontraknya berakhir.
Beliau berkata, misi utama beliau adalah membawa Malaysia layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak automatik ke Piala Asia 2027.
“Selepas membaca laporan berita tersebut, saya terus menghubungi Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin bagi menjelaskan mengenai perkara ini.
“Saya sendiri telah memberi jaminan kepada beliau bahawa misi saya bersama skuad Harimau Malaya belum berakhir dan saya tidak akan meninggalkan pasukan ini begitu sahaja,” kata Pan Gon menerusi satu kenyataan.
Baru-baru ini, Pan Gon mengalami saat yang sukar susulan dua kekalahan berturut-turut Harimau Malaya kepada Oman pada aksi Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan pasukan negara jatuh ke kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata.
Bagaimanapun, Malaysia berdepan misi wajib menang dalam baki perlawanan menentang Kyrgyzstan dan pasukan tercorot Taiwan pada Jun depan.
Ini bagi melayakkan diri ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Asia 2027.