KUALA LUMPUR, 31 Mac - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bakal mengambil langkah keselamatan yang lebih ketat menjelang temasya Sukan Paralimpik Paris 2024, Ogos depan susulan kebimbangan ancaman pengganas dihadapi Perancis ketika ini.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata pihaknya akan bertemu kedutaan Malaysia di Paris dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.
"Untuk atlet asasnya sangat disiplin, habis perlawanan terus balik ke tempat penginapan dan tidak dibenarkan kemana-mana. Kalau ada atlet yang habis awal hendak keluar jalan-jalan, mungkin kami tidak benarkan, itu langkah yang kita ambil.
"Kami akan adakan mesyuarat dengan kedutaan Malaysia, kita akan adakan mesyuarat keselamatan dengan mereka, dapatkan nasihat dan apa penambahbaikan yang harus kita buat," katanya pada sidang media, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, kerajaan Perancis meningkatkan amaran keganasannya ke tahap tertinggi susulan kes tembakan di Dewan Bandaraya Crocus di Moscow, Rusia.
Dalam pada itu, Megat turut memaklumkan pihaknya akan mempertimbang penggunaan 'penjejak' bagi menjamin keselamatan atlet di sana.
"Saya akan tengok kalau kos dia tidak terlalu tinggi, setiap atlet dan juga pegawai akan dapat satu kemungkinan penjejak, dimana pegawai akan buat pemantauan," katanya.
Temasya Paralimpik Paris dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September depan.