IPOH, 31 Mac - Perak FC meneruskan rentak kemenangan aksi pra-musim selepas menewaskan juara Liga Singapura, Albirex Niigata FC 3-1 malam tadi.
Pelawanan yang berlangsung di Stadium Perak itu menyaksikan tuan rumah lebih banyak mengasak ke kubu pelawat.
Gol awal permainan dijaringkan oleh Perak FC menerusi Adilet Kanybekov pada minit keenam.
Albirex Niigata FC bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-46 menerusi jaringan Arya Igami Tarhani.
Minit ke-54, Perak FC kembali di hadapan selepas Adli Ahmad menjaringkan gol kedua tuan rumah.
Seterusnya, Luka Milunovic mengukuhkan kedudukan skuad The Bos Gaurus dengan jaringan ketiga menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan. Aksi tamat, Perak 3-1 Albirex Niigata.
Dalam pada itu, Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah memuji komitmen ditunjukkan pemain walaupun masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki.
"Kelemahan-kelemahan tersebut dan banyak lagi kelemahan yang kita lihat cumanya yang boleh dibanggakan komitmen dan karakter pemain sentiasa berjuang dan cuba mendapatkan gol itu adalah satu positif yang saya lihat keseluruhan pada malam ini," katanya.
Sementara itu, pengendali Albirex Niigata FC, Yoshinaga Kazuaki mengakui anak buahnya banyak melakukan kesilapan dan bermain di bawah tahap yang diharapkan.
Selepas ini, Perak akan berdepan Penang untuk satu lagi aksi persahabatan pada Jumaat, 5 April 2024.