fb fb fb fb fb

Senarai akhir 30 pemain Speedy Tigers diumum esok

Ketua jurulatih kebangsaan, Sarjit Singh

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Senarai akhir 30 pemain skuad hoki senior lelaki negara akan diumumkan esok bagi persiapan mengharungi beberapa kejohanan tahun ini.

Ketua jurulatih, Sarjit Singh berkata pihaknya sudah selesai membuat tapisan nama-nama pemain terbaik dalam pengamatannya bagi membentuk wajah baharu Speedy Tigers menerusi kem latihan diadakannya sebelum ini bagi tujuan tersebut.

Katanya, senarai itu akan dikecilkan dengan 18 pemain bakal menyertai saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) pada 4 hingga 11 Mei depan.

“Secara dasarnya kita sudah pilih 30 pemain itu. Kebanyakannya pemain muda manakala ada tiga hingga empat orang sahaja pemain senior.

“Semua pemain ini sememangya komited bermain untuk negara dan ini peluang terbaik untuk mereka mewakili negara,” katanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bersama media, semalam yang turut dihadiri Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sebelum ini, seramai 46 pemain daripada pasukan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) dipanggil bagi menyertai sesi pemilihan skuad Speedy Tigers yang bermula 19 Mac lepas dan berakhir semalam.

Kejohanan PSAS tahun ini menyaksikan skuad negara tampil selaku juara bertahan akan bersaing bersama Kanada, Jepun, New Zealand, Pakistan dan Korea Selatan.

Speedy Tigers kemudiannya bakal beraksi di Piala Negara-Negara di Poland yang akan bermula 31 Mei hingga 9 Jun depan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI