fb fb fb fb fb

Skuad silat negara siap sedia hadapi cabaran Sukan SEA Thailand

Jurulatih silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir

NILAI, 23 Oktober- Pasukan silat negara bertekad mengekalkan prestasi cemerlang dan terus menyumbang pingat emas pada temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadual berlangsung Disember ini.

Jurulatih negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir berkata skuad silat kini berada pada tahap terbaik dari segi fizikal, mental dan taktikal menjelang aksi di Bangkok.

Namun, beliau mengakui edisi kali ini lebih mencabar apabila hanya 13 acara dipertandingkan termasuk 10 kategori silat olahraga yang turut disertai negara-negara kuat rantau ini.

“Tetapi kita perlu akui bahawa hanya 13 acara sahaja akan dipertandingkan pada Sukan SEA nanti. Jadi, saingan kali ini memang sangat mencabar. Daripada 10 kategori silat olahraga yang dipertandingkan, semuanya melibatkan penyertaan daripada negara-negara kuat.

Namun, kita telah membuat persiapan rapi dan apa yang menggembirakan ialah semangat serta disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh barisan atlet baharu kita,” kata Siti Rahmah kepada pemberita, hari ini.

Siti Rahmah berkata demikian ketika menerima lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan SEA 2025, Nazmizan Muhammad di Pusat Latihan Majlis Sukan Negara (MSN), di sini.

Beliau turut menambah, beberapa aspek masih perlu diperhalusi sebelum temasya bermula, namun yakin skuad silat mampu memperbaiki pencapaian di Sukan SEA Kemboja 2023.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM