fb fb fb fb fb

Kem silat sasar empat emas pada Sukan SEA 2025

Kem silat negara tetap optimis capai sasaran pada Sukan SEA 2025 biarpun beberapa kategori ‘lubuk emas’ tidak dipertandingkan pada edisi kali ini/BERNAMA

NILAI, 23 Oktober - Kem pencak silat negara bertekad mengulangi pencapaian cemerlang dua tahun lalu apabila menyasarkan untuk meraih empat pingat emas pada Sukan SEA di Thailand, Disember ini.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Bibi Aishah Golbal Shah berkata biarpun beberapa kategori ‘lubuk emas’ tidak dipertandingkan pada edisi kali ini, pihaknya tetap optimis sasaran tersebut mampu dicapai.

“Setakat ini, pasukan Malaysia di bawah kendalian saya tidak pernah gagal dari segi pungutan pingat. Kebiasaannya, apa yang kami sasarkan, kami berjaya tepati, malah kadang kala melebihi jangkaan.

“Pada Sukan SEA lalu di Kemboja, sasaran kami hanya tiga pingat emas tetapi berjaya membawa pulang empat. Jadi, kami berharap kejayaan sama dapat diulangi di Songkhla (Sukan SEA) nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke pusat latihan skuad silat negara di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai persiapan skuad negara menjelang temasya dwitahunan itu, Bibi Aishah memaklumkan semuanya berjalan lancar mengikut perancangan.

Malah, katanya pasukan negara kini berada pada prestasi terbaik selepas meraih tiga pingat emas di Kejohanan Silat Asia Tenggara 2025 di Hatyai, Thailand.

Dalam pada itu, atlet pencak silat negara Muhammad Robial Sobri bertekad menukar kilauan pingat perak yang diraih pada edisi lalu kepada emas pada temasya kali ini.

Menurutnya meskipun pernah berdepan kecederaan lutut yang memaksanya berehat selama setahun, semangatnya untuk meraih kejayaan untuk Malaysia tidak pernah pudar.

“Alhamdulillah, baru-baru ini saya dikurniakan rezeki memenangi pingat emas di Kejohanan Silat Asia Tenggara 2025.

“Ia memberi keyakinan baharu kepada saya untuk membawa pulang emas buat Malaysia dan diri sendiri,” katanya. - BERNAMA

ZAZALI JAMIAN