fb fb fb fb fb

Khiew Hoe Yean, Ariana Nur Dania dinobat Olahragawan & Olahragawati ASWP

Foto FB Dr. Zaliha Mustafa

PUTRAJAYA, 23 Oktober- Perenang negara, Khiew Hoe Yean dan pemanah negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan 2023/2024 pada Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan (ASWP) yang berlangsung di sini, hari ini.

Kedua-dua atlet yang turut beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 itu masing-masing menerima piala pusingan, sijil penghargaan dan wang tunai RM8,000, disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Hoe Yean, 23 tahun, menewaskan dua calon lain iaitu pemanah Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazali dan penerjun Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim sekali gus mengembalikan dominasi sukan renang selepas kali terakhir dimenangi Ian James Barr pada edisi 2013/2014.

Sementara itu, Ariana, 20 tahun, mengetepikan pesaing dari sukan boling padang dan wushu untuk merangkul gelaran Olahragawati Wilayah Persekutuan.

Atlet recurve itu sebelum ini melayakkan diri ke Olimpik Paris menerusi Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok dan Final Olympic Qualifier di Paris.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr. Zaliha berkata pencapaian atlet Wilayah Persekutuan membuktikan bakat tempatan mampu menyerlah di pentas antarabangsa hasil kerjasama erat antara atlet, jurulatih dan ekosistem sukan yang kukuh.

“Pencapaian peringkat antarabangsa atlet dari Wilayah Persekutuan juga membanggakan apabila mereka mengharumkan nama Malaysia pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Hampir 100 atlet negara menyumbang puluhan pingat, termasuk 7 emas, 16 perak dan 24 gangsa. Lebih membanggakan, empat atlet dari Wilayah Persekutuan telah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Beliau turut mengumumkan mulai tahun depan, pengurusan kontinjen para Wilayah Persekutuan akan dipindahkan kepada MSWP bagi memperkukuh pembangunan sukan para.

Pada masa sama, Datuk Seri Dr. Zaliha mencabar kontinjen Wilayah Persekutuan mengekalkan kedudukan lima teratas di SUKMA dan Para SUKMA 2026 di Selangor serta mengintai peluang muncul juara keseluruhan, selepas bergelar naib juara pada edisi lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM