KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Dua beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis yang berlangsung di Glaz Arena, Cesson-Sevigne, pada Khamis.
Pasangan pilihan keempat kejohanan , Tang Jie-Ee Wei, terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan gandingan Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Chan dalam pertarungan sengit yang berlarutan lebih sejam dengan keputusan 22-20, 17-21, 22-20.
Kemenangan itu membolehkan mereka menempah pertemuan suku akhir menentang pasangan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, bagi merebut tiket ke separuh akhir.
Sementara itu, pasangan profesional Soon Huat-Shevon tidak berdepan masalah untuk menyingkirkan wakil Scotland, Alexander Dunn-Julie Macpherson, dengan kemenangan mudah 21-13, 21-10 dalam masa hanya 27 minit.
Namun, cabaran lebih sukar menanti mereka di suku akhir apabila dijadual bertemu pilihan kedua kejohanan dari China, Feng Yanzhe-Huang Dongping, esok (Jumaat).