fb fb fb fb fb

Skuad sepak takraw negara mara ke peringkat separuh akhir

Kalahkan Jepun 3-0 / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 17 MEI - Malaysia mudah melangkah ke peringkat separuh akhir Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025, selepas berjaya menewaskan Jepun dengan keputusan 3-0 dalam saingan Kumpulan B.

Regu pertama yang ketuai Amirul Zazwan Amir selaku apit Kanan, Muhammad Syahir Rosdi ; tekong dan Mohamad Azlan Alias ; perejam, berjaya menjinakkan regu pertama Jepun dengan mata 15-11,15-7.

Regu kedua negara yang dibarisi Farhan Adam (apit kanan) Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Muhammad Noraizat Nordin (perejam), jelas tidak menghadapi masalah selepas dengan mudah menjinakkan regu kedua Jepun dengan kiraan 15-8, 15-9.

Momentum kemenangan itu kemudian diteruskan oleh regu ketiga yang diwakili Aidil Aiman Azwawi (apit kanan), Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong) dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam), bagi memastikan kemenangan 3-0 berpihak kepada Malaysia selepas menang 15-8, 15-8, sekaligus membawa Malaysia ke peringkat separuh akhir.

Ketua Jurulatih pasukan sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun ketika ditemui, jelas berpuas hati dengan permainan ketiga-tiga regu negara namun menurutnya masih belum mencapai tahap terbaik yang diinginkan.

"Kita mengharapkan ketika menentang Korea Selatan esok dalam perlawanan akhir peringkat kumpuan pemain akan memberikan yang terbaik bagi persiapan peringkat separuh akhir" katanya.

Malaysia akan turun menentang Korea Selatan petang esok, bagi aksi terakhir peringkat kumpulan, bagi penentuan juara dan naib juara Kumpulan B.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN