KUALA LUMPUR 16 Mei - Malaysia mengesahkan slot ke separuh akhir acara regu berpasukan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, selepas meraih kemenangan kedua dalam kumpulan B apabila menumpaskan Jepun 3-0 di Stadium Titiwangsa.
Regu pertama negara yang dibarisi trio Amirul Zazwan Amir (pengumpan), Muhammad Syahir Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (perejam) menyumbang mata pertama negara selepas menang 15-11, 15-7.
Momentum tersebut kemudiannya diteruskan regu kedua negara Farhan Adam (pengumpan), Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) dan Muhammad Noraizat Nordin (perejam), apabila menang 15-8, 15-9 untuk mata kedua negara.
Regu ketiga negara Aidil Aiman Azwawi (pengumpan), Muhammad Zulkifli Abd Razak (tekong) dan Muhammad Afifuddin Mohd Razali (perejam), memastikan kemenangan 3-0 berpihak kepada Malaysia selepas menang 15-8, 15-8.
Mengulas berkenaan perlawanan tersebut ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun mengakui, ketiga-tiga regu negara yang diturunkan pada malam ini masih belum mencapai tahap terbaik.
“Kita harap untuk perlawanan akhir esok menentang Korea Selatan, pemain yang diturunkan dapat memperkemaskan lagi jentera pertahanan dan serangan mereka supaya dapat menampilkan aksi yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu Malaysia berjaya meraih kemenangan pertama Kumpulan B selepas menewaskan Brunei 3-0 pada aksi yang berlangsung di sebelah pagi.
Malaysia akan turun menentang Korea Selatan bagi aksi terakhir peringkat kumpulan, untuk penentuan juara dan naib juara Kumpulan B.- BERNAMA