JOHOR BAHRU, 20 April- Kekurangan waktu latihan terutama ketika bulan Ramadan lalu tidak menjejaskan persiapan skuad ragbi tujuh sebelah lelaki dan wanita negara, bagi mengharungi Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2 hingga 3 Mei depan.
Meskipun masih dalam 'mood' Hari Raya Aidilfitri, latihan dan persiapan dipertingkat dari semasa ke semasa bagi memastikan kecergasan pemain di tahap terbaik.
Ketua Jurulatih Bunga Raya 7s Lelaki Kebangsaan, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, persiapan mental pemain juga berada pada tahap membanggakan, hanya aspek fizikal yang akan ditambah baik dalam usaha melepasi saingan kumpulan yang turut dihuni Thailand, Singapura dan Indonesia.
Pada masa sama, skuad wanita juga menunjukkan prestasi cemerlang ketika ini.
"Kalau ikut persiapan kita berada di landasan tepat namun masih ada kekurangan persiapan fizikal ysng mana kita mula agak lewat sedikit tetapi kalau berdasarkan taktikal dan pengalaman kita mempunyai kelebihan yang agak besar juga,"katanya.
Thailand dan Singapura antara pasukan yang perlu diawasi kerana boleh menutup peluang skuad negara melakar pencapaian terbaik.
Kejohanan SEA 7s akan berlangsung di Stadium Jurong kecuali aksi final yang akan diadakan di Stadium Nasional Singapura.