fb fb fb fb fb

WADA benarkan 23 atlet China positif doping sertai Olimpik Tokyo

FOTO AFP

NEW YORK, 20 April- 23 atlet renang China didapati positif menggunakan bahan terlarang sebelum Sukan Olimpik Tokyo pada 2021 tetapi dibenarkan bertanding selepas badan induk dunia secara rahsia menerima penjelasan China bahawa mereka telah menelan bahan tersebut tanpa disedari, kata The New York Times pada Sabtu.

Atlet itu termasuk hampir separuh daripada pasukan renang yang dihantar China ke Jepun, dengan beberapa lagi berjaya memenangi pingat, termasuk emas, menurut laporan itu.

Malah, ramai dijangka akan bertanding semula di Sukan Olimpik Paris kali ini.

Akhbar itu melaporkan bahawa mereka diuji positif untuk ubatan untuk jantung yang boleh membantu meningkatkan prestasi pada aksi domestik pada akhir 2020.

Tetapi pihak berkuasa anti-doping China menjelaskan bahawa mereka menelan bahan itu tanpa disedari daripada makanan yang tercemar dan menegsyorkan agar atlet-atlet tersebut tidak dikenakan tindakan.

The Times melihat semakan dokumen sulit dan e-mel, termasuk laporan oleh agensi anti-doping China yang diserahkan kepada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Ia berkata WADA dan badan induk renang dunia yang pada masa itu dikenali sebagai FINA, memutuskan untuk tidak bertindak kerana "ketiadaan bukti yang boleh dipercayai" untuk mencabar China.

WADA memberitahu, ia memilih untuk tidak meneruskan tindakan itu selepas "berunding dengan saintis dan penasihat undang-undang luar".

Tetapi Agensi Anti-Doping Amerika Syarikat berkata kesemua atlet itu sepatutnya digantung daripada menyertai sebarang kejohanan malah ianya perlu diumumkan secara terbuka.

Mereka turut menyifatkan tindakan WADA sebagai "tikaman belakang ke atas atlet bersih".

Ketua eksekutif pertubuhan itu Travis T. Tygart mendakwa dia telah memberikan WADA dengan dakwaan doping dalam renang China beberapa kali sejak 2020.

China mempunyai sejarah doping berpanjangan, dengan banyak kes sepanjang 1990-an. Tujuh perenang China didapati positif steroid pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima.

Pada tahun 1998, perenang Yuan Yuan telah diharamkan selepas pegawai kastam Australia menemui simpanan besar hormon pertumbuhan manusia di dalam begnya di Kejohanan Dunia di Perth.

Juara Olimpik tiga kali Sun Yang juga telah digantung empat tahun sehingga Jun 2024, menyebabkan dia tidak menyertai Sukan Olimpik Tokyo.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE