KUALA LUMPUR, 10 Ogos- Harapan skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara Bawah 20 Tahun (B-20) mara ke final Kejohanan Ragbi Asia 7s B-20 2025 tidak kesampaian selepas tewas 5-33 kepada Hong Kong pada aksi separuh akhir di Bihar, India, hari ini.
Pasukan bimbingan Syed Shazril Syed Mahadzir terpaksa akur dengan kehebatan Hong Kong yang lebih menguasai permainan apabila meraih 33 mata, berbanding skuad negara yang hanya mampu mengutip lima mata menerusi try tunggal dilakukan Luqmanul Hakim Ramli.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia akan menentang China bagi perebutan tempat ketiga.
“Sudah tentu kami kecewa gagal ke final dan mengekalkan rekod tanpa kalah. Lawan Hong Kong, kami kurang tajam melaksanakan pelan permainan serta terikut rentak mereka.
“Pemain sedar kelemahan dan akan berusaha memastikan tempat ketiga milik negara,” kata pengurus pasukan Dr Muhammad Hazwan Khair dalam kenyataan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).
Pada edisi 2023 di Kathmandu, Nepal, skuad negara menamatkan saingan selaku naib juara. -BERNAMA