fb fb fb fb fb

Yee Hern-Wen Tse raih gelaran pertama

KUALA LUMPUR 10 Ogos- Beregu campuran negara, Wee Yee Hern-Chan Wen Tse mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan utama, Ratchapol Makkasasithorn-Nattamon Laisuan untuk merangkul gelaran pertama mereka dalam kejohanan badminton Siri Antarabangsa Thailand 2025 di Nakhon Ratchasima, hari ini.

Yee Hern-Wen Tse yang juga pilihan ketiga kejohanan mengambil masa 33 minit untuk menafikan peluang pasangan nombor 64 dunia itu meraih kejuaraan di laman sendiri, dengan 22-20, 21-16, dalam perlawanan yang berlangsung di Terminal 21 Korat. 

Ini merupakan kemenangan kedua pasangan ranking 144 dunia itu ke atas beregu Thailand tersebut dalam tiga perlawanan sejak kali pertama bertembung di Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2025, Februari lepas. 

Yee Hern-Wen Tse dijadual beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia 2025 yang akan diadakan di Perak bermula Selasa ini hingga 17 Ogos.

Mereka akan menentang gandingan Australia, Timotius Elbert-Sarita Suwanakuboriharn.

Sementara itu, Wen Tse gembira muncul juara di Thailand dan berharap untuk memenangi lebih banyak gelaran bersama pasangannya pada masa hadapan.

“Ini hanyalah permulaan bagi kami dan kami akan terus bekerja keras untuk memenangi gelaran pada masa hadapan. Kami berharap untuk menembusi kelompok 50 terbaik dunia tahun ini,” katanya dalam kenyataan ringkas yang dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini. -BERNAMA

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello