GOMBAK, 10 Ogos- Pasukan DPMM FC bakal mengharungi perlawanan yang lebih mencabar dan menjadi ujian hebat kepada pasukan sepanjang saingan Liga Super musim ini.
Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Mcallister James Reynolds mengakui, ini terutama apabila berdepan Selangor FC untuk perlawanan kedua, Selasa ini.
Beliau menyatakan perkara itu selepas penelitian berdasarkan perlawanan Piala Sumbangsih antara pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) FC dengan Selangor FC tempoh hari.
Katanya, beberapa aspek dan persiapan perlu dilakukan sebelum aksi itu bermula.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya menonton mereka bermain menentang Johor memang jelas ada kualiti dalam pasukan.
"Jadi kami perlu bersedia, pulih dengan baik, kaji semula perlawanan dan bersiap untuk perlawanan menentang Selangor," katanya pada sidang media selepas pertembungan dengan PDRM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam tadi.
Perlawanan pembuka tirai itu menyaksikan DPMM FC terikat 2-2 menentang PDRM FC.
Keputusan itu sekali gus meletakkan pasukan di tangga ke-4 dengan kutipan satu mata.
DPMM FC seterusnya akan beraksi menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Selasa ini.