ALOR SETAR, 10 Ogos – Kedah Darul Aman (KDA) FC memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro musim ini dengan kemenangan bergaya ke atas Machan FC minggu lalu dan kini bertekad meneruskan rentak positif itu, dengan sokongan padu peminat menjadi pemangkin semangat.
Pengurus Besar KDA FC, Mohamad Faidhi Mohd Rohdzi berkata walaupun pasukan berdepan pelbagai cabaran dan majoriti pemain terdiri daripada barisan muda, sokongan peminat sentiasa utuh.
“Kami sangat menghargai semangat dan sokongan peminat yang tidak pernah luntur, walaupun dalam keadaan pasukan berdepan pelbagai fasa cabaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penyokong tegar KDA FC, Muhd Nur Daniel Roslan yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah akibat masalah kesihatan / Foto KDA FC
Beliau berkata demikian selepas menziarahi penyokong tegar KDA FC, Muhd Nur Daniel Roslan yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah akibat masalah kesihatan.
Menurutnya, Daniel merupakan penyokong setia yang sanggup mengorbankan cuti tahunan semata-mata untuk mengikuti setiap perlawanan KDA FC di stadium-stadium seluruh negara.
Lebih mengharukan, penampilan Daniel yang sering hadir menyaksikan perlawanan dengan memakai kain pelikat menjadi inspirasi kepada pemain dan penyokong lain.