fb fb fb fb fb

PDRM FC masih cari rentak, Eddy Gapil akui banyak kesilapan

PDRM FC masih cari rentak, Eddy Gapil akui banyak kesilapan / Foto FB MFL

GOMBAK, 10 Ogos – Penolong ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Eddy Gapil berpuas hati dengan keputusan perlawanan sulung Liga Super musim ini namun mengakui pasukannya masih banyak melakukan kesilapan mudah.

Eddy berkata, faktor kemasukan hampir 80 peratus pemain baharu menyebabkan skuad The Cops masih dalam proses menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan.

“Ini aksi pertama selepas empat minggu persiapan. Untuk 90 minit, saya berpuas hati dengan keputusan, cuma secara keseluruhan banyak perkara perlu diperbaiki.

“Kalau situasi ini berlarutan, memang bahaya untuk pasukan kerana terlalu banyak kesilapan mudah dilakukan pemain. Pemain baharu perlukan masa untuk faham corak permainan kita,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang DPMM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), malam tadi.

1008 SKN REAX COACH PDRM FC 2Penolong ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, Eddy Gapil

Tambah Eddy, rombakan pemain di awal musim bukan perkara baharu buat PDRM FC namun ia memaksa pasukan memulakan semula daripada kosong setiap tahun.

Beliau berharap semua pemain, termasuk penyerang import Henry Cedric Doumbia, dapat diturunkan pada aksi seterusnya, selain menuntut prestasi lebih baik daripada import baharu, Elisha Oluwasegun Kashim.

“Mungkin ini aksi pertamanya di tahap tertinggi, jadi kita faham ada tekanan yang dihadapinya,” ujarnya.

PDRM FC akan menilai tahap kecergasan pemain, menganalisis kesilapan yang dilakukan dan memilih taktikal sesuai menjelang aksi menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, pada Rabu ini.

Terdahulu, PDRM FC terlepas peluang meraih kemenangan selepas diikat pasukan jemputan dari Brunei, DPMM FC, 2-2.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN