BERLIN, 10 Ogos- Pemain Liverpool, Florian Wirtz dinobatkan sebagai pemain terbaik Jerman, sekali gus mengukuhkan lagi status beliau sebagai bintang yang sedang meningkat naik.
Wirtz, memperoleh 191 undian dalam kalangan wartawan sukan Jerman, jauh mengatasi pencabar terdekat, Michael Olise dari Bayern Munich, yang memperoleh 81 undi.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu tiba di Anfield dari Bayer Leverkusen pada Jun lalu dengan yuran perpindahan £100 juta ($134 juta) serta tambahan bonus sehingga £116 juta.
Beliau adalah sebahagian daripada penyertaan pemain lain ke dalam skuad The Reds termasuk penyerang Perancis Hugo Ekitike dan bek kiri Hungary Milos Kerkez.
Wirtz memainkan peranan penting dalam musim terhebat Leverkusen apabila merangkul kejuaraan Bundesliga dan Piala Jerman buat pertama kalinya pada 2023/2024 tanpa tewas satu perlawanan pun.
Sepanjang karier bersama Leverkusen, Wirtz telah menjaringkan 57 gol dan melakukan 65 bantuan dalam 197 perlawanan.
Pencapaian itu sebagai bukti bahawa pemain antarabangsa Jerman itu mampu membawa ancaman kepada pihak lawan selaku penjaring gol. -AFP