fb fb fb fb fb

Skuad Piala Thomas, akur kehebatan Denmark

Foto FB BAM

KUALA LUMPUR, 30 April- Skuad Piala Thomas negara bermula dengan langkah kiri pada aksi terakhir Kumpulan D bertemu Denmark, apabila tewas 2-3.

Aksi pertama menyaksikan pemain perseorangan pertama, Lee Zii Jia tidak berupaya menewaskan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Zii Jia bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada pemenang pingat Olimpik Tokyo 2020 itu, untuk merangkul mata pertama Denmark, meski tewas 16-21 dan 22-24.

Namun, beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menceriakan kem negara apabila berjaya mengalahkan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada perlawanan kedua.

Meski sedikit lewat mendominasi permainan, tewas 17-21 di set pertama dan bangkit pada set kedua dengan mata 21-17, seterusnya menoktahkan kemenangan pertama negara dengan 21-16 dalam set penentuan.

Aksi ketiga menampilkan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, yang akur tewas di tangan pemain di rangking ke-4 dunia, Anders Antonsen, apabila kalah straight sets 14-21 dan 10-21.

Kekalahan kedua itu menjadi pembakar semangat buat pasangan beregu negara, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani untuk mencuri mata penting buat Malaysia.

Sze Fei-Nur Izzudin bangkit menyamakan kedudukan selepas mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, 23-21 dan 22-20.

Bagaimanapun, kem negara gagal untuk menjadi juara Kumpulan D selepas perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tewas kepada pemain lebih berpengalaman, Rasmus Gemke 13-21, 21-19 dan 13-21.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara akan meneruskan perjuangan dalam aksi pusingan kalah mati, selaku naib juara Kumpulan D.

Kejohanan Piala Thomas dan Uber berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Zon Hi-Tech di Chengdu, China.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM