fb fb fb fb fb

Skuad Malayan Tigress catat pencapaian luar biasa - Suraya

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob, bersama-sama skuad Malayan Tigress di KLIA, hari ini. Foto platform X FA Malaysia.

SEPANG, 8 Julai -Skuad Malayan Tigress mencatat prestasi cemerlang selepas menamatkan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dengan keputusan yang memberangsangkan.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob, menyifatkan ia sebagai satu pencapaian luar biasa dan tertinggi pernah dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dalam pengalaman saya menguruskan bola sepak wanita, inilah jumlah gol terbanyak yang pernah dibawa pulang dalam satu siri. Selalunya kami hanya menjaringkan satu atau dua gol seperti ketika kami beraksi di Palestin dahulu. Kali ini, pencapaian ini menunjukkan perubahan yang sangat ketara hasil strategi baru dan semangat gigih pasukan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kejayaan ini turut dikaitkan dengan sokongan berterusan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang digambarkan sebagai pemacu utama di sebalik perkembangan positif tersebut.

“Jika beliau tidak berulang kali menyuarakan sokongan terhadap bola sepak wanita, mungkin momentum ini tidak akan berlaku. Beliau bukan sahaja memberikan sokongan moral, malah turut memastikan fasiliti dan peruntukan kewangan tersedia,” tambahnya lagi.

Jelas beliau, pelantikan jurulatih baharu, Joel Cornelli, turut memberi impak besar kepada peningkatan prestasi pemain.

“Kepercayaan pemain kepada jurulatih sangat penting. Mereka yakin dengan hala tuju yang dibawa, dan komitmen penuh pengurusan turut memainkan peranan besar dalam kejayaan ini,” katanya.

Dalam masa terdekat, pasukan kebangsaan bakal menyertai Liga Wanita Nasional yang akan bermula minggu ini, satu platform yang dianggap sebagai latihan terbaik menjelang temasya Sukan SEA akan datang.

“Liga ini akan berjalan selama lebih kurang lima bulan. Ia peluang untuk pemain mengekalkan kecergasan kompetitif. Kami juga merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum Sukan SEA bagi memastikan pasukan benar-benar bersedia menggalas cabaran negara," katanya.

Terdahulu, skuad kendalian Joel Cornelli itu mencatat lima kemenangan dan hanya dua kekalahan, serta berjaya meledak 10 gol sepanjang tujuh perlawanan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI