fb fb fb fb fb

Prestasi Malayan Tigress membanggakan - Steffi

Kapten skuad bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur. Foto platform X FA Malaysia.

SEPANG, 8 Julai -Kapten skuad bola sepak wanita negara, Steffi Sarge Kaur, menyifatkan prestasi rakan sepasukannya dalam kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 sebagai satu pencapaian yang membanggakan, bukan hanya dari aspek keputusan, tetapi semangat yang dipamerkan dalam setiap perlawanan.

Malaysia mencatat dua kemenangan berturut-turut menentang Tajikistan dan Palestin, sebelum tewas kepada Korea Utara yang kini berada di kedudukan kesembilan dunia.

Meski tewas dalam aksi terakhir, Steffi menegaskan misi sebenar pasukan adalah untuk tidak berputus asa.

“Kami tahu Korea Utara jauh lebih hebat dari segi fizikal, teknikal dan taktikal. Tapi kami masuk ke padang dengan satu misi tidak berputus asa. Itu yang saya paling bangga. Kami tahu ini bukan perlawanan mudah, malah seakan-akan menentang pasukan lelaki, tapi semua pemain berikan komitment 100%,” kata Steffi.

Menurutnya, peluang beraksi menentang pasukan bertaraf dunia seperti Korea Utara menjadi medan pembelajaran penting untuk pemain memperbaiki corak permainan serta ketangkasan di pentas antarabangsa.

“Semua pemain perlu belajar daripada pasukan lain, peluang keemasan ini tidak selalu datang dan mereka boleh praktikkan dalam pasukan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Steffi turut megakui kombinasi mantap antara pemain muda dan senior menjadi kekuatan utama skuad Malayan Tigress.

“Pemain muda ada kecergasan tinggi, pemain senior pula ada pengalaman. Gabungan ini beri keseimbangan yang baik dan saya harap skuad boleh kekalkan momentum ini sehingga ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Skuad kendalian Joel Cornelli kini menamatkan kempen kelayakan di tangga kedua Kumpulan H, di belakang Korea Utara, dan akan meneruskan persiapan menjelang Sukan SEA serta kejohanan seterusnya.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI