fb fb fb fb fb

Skuad Karate orang pekak sasar pingat di Deaflympics Tokyo 2025

Jurulatih skuad karate orang pekak negara, Caleb Zheng/RTM

SEREMBAN, 1 November - Jurulatih skuad karate orang pekak negara, Caleb Zheng, optimis pasukan bimbingannya mampu membawa pulang pingat pada Deaflympics Tokyo 2025 hasil persiapan rapi yang dijalankan sejak setahun lalu.

Menurutnya, tumpuan utama diberikan kepada peningkatan ketahanan fizikal dan kemahiran teknikal bagi memastikan atlet benar-benar bersedia menghadapi kejohanan terbesar itu.

"Dari segi fizikal memang mereka sudah bersedia. Selepas dua tahun tidak bertanding, kali pertama mereka kembali beraksi di World Deaf Championship tahun lepas,

"Ketika itu fizikal mereka belum cukup baik, tapi kali ini saya memang tekankan latihan fizikal supaya mereka lebih tahan semasa kejohanan," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di sini hari ini.

Tambah Caleb, prestasi keseluruhan atlet menunjukkan peningkatan positif hasil penyertaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Kehadiran beberapa muka baharu turut memberi suntikan semangat baharu kepada pasukan.

“Dari segi teknik, mereka banyak menunjukkan peningkatan dan keputusan juga semakin baik. Saya yakin sekurang-kurangnya satu pingat mampu dibawa pulang sekiranya mereka dapat mengekalkan fokus dan mengelak kesilapan,” katanya ketika ditemui RTM di sini.

Skuad karate orang pekak negara dijadual berlepas ke Jepun dua minggu lebih awal bagi menjalani latihan akhir sebelum bermulanya Deaflympics Tokyo 2025.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD