fb fb fb fb fb

Skandal pertaruhan: TFF gantung 149 pengadil, ratusan disiasat

FOTO REUTERS

ANKARA, 1 November – Persekutuan Bola Sepak Turkiye (TFF) menggantung 149 pengadil dan penolong pengadil selepas siasatan mendapati ramai pegawai bola sepak profesional negara itu memiliki akaun pertaruhan dan terlibat dalam aktiviti perjudian.

Dalam kenyataannya, TFF memaklumkan hukuman penggantungan antara lapan hingga 12 bulan dijatuhkan ke atas pengadil yang didapati bersalah.

Manakala siasatan terhadap tiga individu lain masih diteruskan.

Presiden TFF, Ibrahim Haciosmanoglu, menyifatkan situasi itu sebagai “krisis moral terbesar dalam bola sepak Turki”, selepas hasil siasatan menunjukkan hampir dua pertiga pengadil di liga profesional mempunyai kaitan dengan aktiviti pertaruhan.

“Terdapat krisis moral dalam bola sepak Turki. Masalah utama di sini bukan soal kewangan, tetapi soal etika,” katanya kepada CNN Turki.

Menurut data yang dikumpul daripada institusi kerajaan, 371 daripada 571 pengadil aktif dikenal pasti mempunyai akaun pertaruhan, dan 152 daripadanya aktif perjudian.

Lebih mengejutkan, siasatan turut mendedahkan terdapat pengadil yang membuat sehingga 18,227 pertaruhan. Manakala 42 pengadil pula bertaruh lebih 1,000 perlawanan setiap seorang.

Beberapa laporan tempatan termasuk mendedahkan bahawa siasatan tersebut mencakupi tempoh lima tahun terakhir, dan turut melibatkan Pejabat Peguam Negara Istanbul serta Antalya bagi menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau rasuah.

Pihak berkuasa kini sedang menentukan sama ada mana-mana pengadil telah bertaruh pada perlawanan yang mereka kendalikan sendiri, atau aktiviti tersebut memberi kesan terhadap keputusan perlawanan.

Bagaimanapun, TFF belum mengesahkan sama ada terdapat bukti pertaruhan secara langsung ke atas perlawanan di bawah kendalian pengadil terbabit.

Siasatan itu turut membuka ruang kepada kemungkinan tindakan lanjut daripada FIFA dan UEFA, terutamanya bagi pengadil yang pernah bertugas dalam perlawanan antarabangsa.

Di bawah Kod Disiplin TFF (Artikel 57), aktiviti pertaruhan oleh pegawai bola sepak membawa hukuman antara tiga bulan hingga satu tahun penggantungan.

Namun hukuman boleh dilanjutkan jika didapati melanggar etika profesional peringkat antarabangsa.

Laporan media Turki turut menekankan bahawa isu kepercayaan terhadap pengadil bukan perkara baharu. Terdapat beberapa insiden sebelum ini termasuk aduan berat sebelah dan gangguan terhadap pengadil oleh pegawai kelab.

Haciosmanoglu menegaskan semua pengadil telah menerima gaji mereka seperti dijanjikan dan kenaikan selama dua tahun berturut-turut sekali gus menolak dakwaan bahawa tindakan mereka berpunca daripada masalah kewangan.

“Tanya mana-mana pengadil. Jika ada yang belum dibayar, saya sanggup letak jawatan. Kami telah menaikkan gaji mereka tahun lalu, dan sekali lagi tahun ini,” tegasnya.

Skandal terbaharu ini dianggap antara yang terbesar dalam sejarah bola sepak Turki, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai integriti dan profesionalisme dalam kalangan pengadil.

TFF kini berdepan cabaran besar untuk memulihkan keyakinan terhadap sistem pengadilan dan memastikan sukan bola sepak negara itu bebas daripada unsur rasuah dan perjudian. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD