fb fb fb fb fb

Ferris, Derron ungguli Ironman 70.3 Langkawi 2025

Sukan lasak Ironman 70.3 Langkawi melabuhkan tirainya hari ini dengan mencipta sejarah baharu apabila atlet profesional Australia, Josh Ferris (tengah) dinobatkan sebagai juara kategori lelaki/RTM

LANGKAWI, 1 November – Sukan lasak Ironman 70.3 Langkawi melabuhkan tirainya hari ini dengan mencipta sejarah baharu apabila atlet profesional Australia, Josh Ferris dinobatkan sebagai juara kategori lelaki, manakala Julie Derron dari Switzerland mengungguli kategori wanita.

Ferris menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 jam 46 minit 56 saat, sekali gus mengatasi pencabarnya dari Denmark, Jens Emil Sloth Nielsen yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 3 jam 50 minit 25 saat.

Atlet Kanada, Tyler Mislawchuk pula melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan masa 3 jam 55 minit 30 saat.

Kemenangan itu menambah satu lagi kejuaraan bermakna buat Ferris selepas menjuarai Ironman 70.3 Cebu, Filipina pada Ogos lalu.

“Saya pernah berlumba kali kedua di Malaysia tiga tahun lalu pada kejohanan Asia Cup di Ipoh. Tahun ini amat istimewa apabila saya menjuarai 70.3 di Filipina dan tempat kedua di Australia. Kini menang di Langkawi menjadikan 2025 tahun terbaik buat saya,” katanya.

Bagi kategori wanita profesional, Derron dari Switzerland menamatkan saingan dengan masa 4 jam 13 minit 52 saat, menewaskan peserta Australia yang berada di tempat kedua dengan masa 4 jam 18 minit 11 saat, manakala atlet Perancis, Justine Guerard, di tempat ketiga dengan catatan 4 jam 22 minit 17 saat.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini. Saya membuat keputusan dalam masa singkat untuk menyertai kejohanan ini dan bersyukur segalanya berjalan lancar. Sudah lama saya tidak bertanding dan agak gementar menghadapi cabaran di sini, tetapi akhirnya berjaya menamatkannya dengan kemenangan,” ujar Derron.

Edisi ke-10 kejohanan Ironman 70.3 Langkawi tahun ini berjaya menarik penyertaan lebih 1,800 atlet dari 56 negara, melibatkan tiga disiplin utama, berenang sejauh 1.9 kilometer, berbasikal sejauh 90 kilometer, dan berlari sejauh 21.1 kilometer.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN