fb fb fb fb fb

Skuad Harimau Muda B-23 tewas 1-2 dengan China

Foto FB FAM

SHANGHAI, 26 Disember- Harapan skuad kendalian Juan Torres Garrido untuk mengungguli aksi persahabatan kedua menentang China musnah setelah ditewaskan 1-2 di Stadium Jinshan di Shanghai, China petang tadi.

Pasukan tuan rumah dilihat lebih mendominasi perlawanan untuk membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Du Yuesheng. 

Jaringan itu tidak mematahkan semangat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara setelah berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-34. 

Pasukan China di bawah kendalian Cheng Yaodong kemudian menggandakan kedudukan pada minit kecederaan babak pertama menerusi Tao Qianlong.

Nasib tidak menyebelahi Malaysia, selepas Aliff Izwan dilayangkan kad kuning kedua, minit ke-39 dan keputusan kekal menyebelahi China 2-1 sehingga wisel penamat.

Perlawanan hari ini merupakan aksi kedua perlawanan persahabatan Tier 2 setelah Harimau Muda berjaya menewaskan China 1-0 pada aksi persahabatan pertama Sabtu lalu.

Aksi persahabatan berdepan China itu merupakan persiapan skuad Harimau Muda untuk menghadapi Piala Asia B-23 di Doha, Qatar April 2024.

Harimau Muda diundi dalam Kumpulan D Piala Asia dan membuka saingan bertemu Uzbekistan pada 17 April dan Vietnam pada 20 April sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Kuwait pada 23 April 2024.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM