ARAU, 25 Disember- Bagi melahirkan jaguh permotoran negara di masa depan, Cubcross Tertutup Zon Utara dianjurkan di Arau, Perlis.
Seramai 250 peserta terlibat mewakili 50 pasukan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan selatan Thailand, dengan peserta termuda berusia 14 tahun.
Menurut Pengerusi Cubcross Tertutup Zon Utara, Sazali Saad, kejohanan kali ketiga itu dianjurkan Majlis Belia Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri dan Dirtrider Motorsports Club serta RISDA.
Katanya, ia mempertandingkan lima kategori iaitu Cubcross Terbuka, Cubcross Standard, CKD Terbuka, CKD Tertutup Perlis dan CKD Standard.
"Kali ketiga untuk tahun ini. Trek ini pun masih baru lagi sebenarnya dan salah satu program ini adalah untuk memperkenalkan Perlis yang mempunyai trek yang berpotensi untuk diketengahkan lagi dan setakat hari ini, ini adalah trek yang antara terbaik di Perlis," katanya.
Ujarnya, lokasi kejohanan di Trek Cubcross Bukit Mas, Pauh, begitu mencabar yang mana mampu menguji ketahanan mental dan fizikal setiap peserta yang bertanding.