fb fb fb fb fb

Skuad Harimau Malaya B-23 sedia sepenuhnya berdepan Indonesia

Nafuzi Zain/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Skuad Harimau Malaya bawah 23 tahun (B-23), kini berada dalam keadaan yang cukup positif menjelang aksi akhir Kumpulan A menentang Indonesia, esok.

Ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain berkata, beberapa pemain termasuk penyerang Alif Izwan yang sebelum ini mengalami kecederaan, akan kembali beraksi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta bagi memburu tiket ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN B-23 2025.

"Dari segi pemain, semuanya berjalan dengan lancar dan berada dalam keadaan yang baik serta positif. Pemain yang sebelum ini cedera juga kembali menjalani latihan. Mereka mungkin dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Indonesia nanti."

Alif Izwan juga telah kembali menjalani latihan bersama pasukan, dan mungkin boleh diturunkan dalam perlawanan menentang Indonesia esok. Keadaan Faris Danish juga semakin baik dan berkemungkinan besar boleh beraksi dalam perlawanan tersebut," katanya.

Beliau turut memaklumkan tiada perubahan besar dalam senarai pemain kerana kebanyakan daripada mereka pernah beraksi sama ada dalam satu
atau kedua-dua perlawanan sebelum ini.

Mengulas mengenai kekuatan pasukan lawan, beliau mengakui Indonesia memiliki kekuatan dari segi fizikal dan corak permainan.

Kebanyakan pemain Indonesia beraksi dalam liga utama negara itu, menjadikan mereka lebih berpengalaman dan matang.

Beliau berharap skuad negara dapat memberikan saingan sengit kepada Indonesia dalam pertembungan tersebut.

Hanya tiga juara kumpulan dan satu naib juara terbaik daripada tiga kumpulan layak ke peringkat separuh akhir.

ASHRIQ FAHMY AHMAD