KUALA LUMPUR, 20 Julai - Pemain skuasy lelaki negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar merangkul kejuaraan kelapan siri Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA), selepas muncul juara Terbuka Victorian di Australia, hari ini.
Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) memaklumkan, pemain berusia 31 tahun itu menewaskan rakan senegara, Nathan Kueh dalam aksi empat set dengan keputusan 11-2, 11-4, 8-11, 11-3 dalam tempoh 46 minit.
“Saya berasa gembira dan bangga dengan prestasi dicapai terutama berjaya memenangi kejohanan berturut-turut di luar negara.
"Saya kembali yakin dengan diri sendiri dan permainan selepas beberapa bulan berehat akibat kecederaan bahu," katanya, menerusi kenyataan SRAM.
Ia merupakan gelaran kelapan PSA buat Addeen Idrakie, selepas menjuarai Terbuka Morrinsville di New Zealand, minggu lepas.-BERNAMA