KLANG, 20 Julai - Kelab Diraja Klang (KRC), sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, khususnya kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan infra sukan dan sosial menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor tahun depan.
Naib Presiden KRC, Serjeet Singh berkata, pengalaman kelab itu melahirkan banyak atlet bertaraf Olimpik dan wakil kebangsaan, termasuk kemudahan sukan bertaraf dunia sebelum ini boleh dijadikan panduan sama ada dari segi kejurulatihan, penganjuran mahupun penyertaan.
“Kami (KRC) mempunyai barisan jurulatih yang sangat berpengalaman dalam bidang hoki, skuasy, kriket dan renang sehingga ada yang bertaraf Olimpik, kami bersedia sekiranya pengalaman atau nasihat kami diperlukan untuk SUKMA 2026.
“Bukan itu sahaja, kemudahan yang kami ada menepati piawaian kejohanan antarabangsa dan paling terkini adalah pickleball. Ia sudah pasti boleh digunakan untuk latihan atau lokasi tambahan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Serjeet Singh berkata banyak bakat yang boleh dimanfaatkan di kelab itu merangkumi peringkat pengurusan sukan, kejurulatihan di samping bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan mengikut jenis sukan masing-masing.
Beliau berkata meskipun kelab itu telah menjangkau usia 125 tahun, namun perkembangan terkini seperti sains sukan, kelengkapan serta kemudahan sukan yang ada di bawah pengurusan kelab itu sentiasa mengikut peredaran masa serta spesifikasi kejohanan antarabangsa.
“Tawaran ini sebenarnya tidak terhad kepada kerajaan negeri, malah kami berbesar hati menerima sekiranya ada mana-mana pihak swasta atau dari negeri lain yang memerlukan panduan berkaitan sukan daripada kami,” katanya.-BERNAMA