fb fb fb fb fb

BAJC 2025: Skuad remaja negara naib juara Kumpulan B

Skuad remaja negara muncul naib juara Kumpulan B/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Julai - Skuad remaja negara muncul naib juara Kumpulan B acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 selepas tewas 92-110 kepada Indonesia di Solo, hari ini.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Manahan, Malaysia bagaimanapun tidak memberikan laluan mudah buat pasukan tuan rumah yang perlu melengkapkan 10 perlawanan, dua perlawanan bagi setiap kategori: perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Satu kekalahan dan tiga kemenangan diraih dalam saingan Kumpulan B itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan skuad remaja negara yang sudah mengesahkan slot ke peringkat kalah mati semalam.

Sementara itu, kemenangan keempat Indonesia dalam saingan peringkat kumpulan berkenaan meletakkan mereka bergelar juara Kumpulan B.

Hanya dua pasukan teratas kumpulan mara ke saingan suku akhir.

Terdahulu, Malaysia bermula dengan langkah kanan dalam aksi pembukaan kumpulan apabila menewaskan Macau (110-59) diikuti Myanmar (110-52) dan Singapura (110-58).

BAJC tahun ini menggunakan format baharu yang menyaksikan setiap pasukan perlu melengkapkan 10 perlawanan dengan setiap perlawanan dimainkan sehingga 11 mata dan pasukan pertama yang mengumpul 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.- BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD