fb fb fb fb fb

Skuad e-sukan wanita NAVI MY gegar pentas dunia Julai ini

Foto FB NAVI MLBB

BUKIT KIARA, 17 Mei - Skuad e-sukan wanita negara, Navi MY, mencuri tumpuan selepas berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia E-Sukan (EWC) yang akan berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, pada Julai.

Kejayaan itu hadir selepas pasukan kendalian Muhd Faris Badrul Zaman muncul juara Pusingan Kelayakan Malaysia/Singapura bagi Kejohanan Mobile Legends: Women’s Invitational – Esports World Cup (MWI–EWC) yang berlangsung minggu lalu.

Pemain Navi MY, Nurul Effa Fauzana Mohd Fauzi atau lebih dikenali sebagai Fafau, bangga dengan pencapaian ini dan yakin skuadnya mampu mencabar kejuaraan di pentas dunia.

“Saya rasa lebih teruja sejak kami ada barisan pemain baharu, dan kemampuan dimiliki skuad kali ini buat saya lebih yakin kami ada peluang untuk muncul juara.

“Kami juga berasa sangat terharu dan teruja apabila organisasi e-sukan besar seperti ini memberikan peluang kepada pemain wanita untuk menyertai pasukan mereka.” katanya.

Sementara itu, jurulatih pasukan Navi MY, Muhd Faris Badrul Zaman berkata, pemilihan pemain baharu dibuat berdasarkan pengalaman serta tahap keserasian antara pemain.

Kita tahu pasukan ini dibarisi pemain berpengalaman, dan saya sendiri yang membuat pemilihan penuh untuk kesemua pemain. Bagi saya, mereka cepat menyesuaikan diri dan berkongsi semangat serta minat yang sama dalam e-sukan,” menurutnya.

Barisan pemain baharu Navi MY yang akan membawa cabaran negara di Riyadh terdiri daripada Fafau, Hanie, Rina, Remund dan Sha.

Pasukan itu kini giat menjalani latihan intensif sebagai persediaan ke pentas dunia.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD