fb fb fb fb fb

Pemain import Jepun perkuat skuad futsal Kedah

Foto FB Persatuan Bola Sepak Kedah

ALOR SETAR, 17 Mei - Skuad Futsal Kedah memperkukuh cabaran mereka dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2025 dengan kehadiran pemain import baharu dari Jepun, Higuchi Takeshi.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam kenyataan memaklumkan, pemain berusia 27 tahun kelahiran Hokkaido itu bakal memperkuat benteng pertahanan pasukan menjelang pusingan kedua liga.

Takeshi, yang pernah beraksi dalam MPFL musim 2023 dan mewakili kelab ternama di Jepun, hadir dengan pengalaman luas, disiplin tinggi serta semangat juang yang menjadi identiti pemain dari negara Matahari Terbit.

Beliau telah tiba di Alor Setar dan kini menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan sebagai persiapan menghadapi perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Sultan Abdul Halim pada 22 Mei ini.

Sebelum ini, Kedah menggugurkan empat pemain termasuk dua pemain import susulan prestasi hambar pasukan yang sekadar menghuni tangga ketujuh liga dengan hanya empat mata hasil satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dalam pusingan pertama.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD