fb fb fb fb fb

Sepak Takraw Piala Asia 2025: Skuad regu berpasukan mara ke separuh akhir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Skuad regu berpasukan Malaysia mara ke separuh akhir selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi terakhir Kumpulan B saingan Sepak Takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Regu pertama negara yang dibarisi Farhan Adam, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat terlebih dahulu menghadiahkan kemenangan pertama Malaysia.

Mereka bangkit selepas ketinggalan pada awal set pertama untuk menang 15-6, 15-9.

Regu kedua yang diketuai Amirul Zazwan turut mencatat kemenangan selesa 15-6, 15-11 walaupun Korea cuba mengubah strategi.

Momentum kemenangan diteruskan regu ketiga negara apabila menewaskan lawan 15-8, 15-7, sekali gus membawa Malaysia ke separuh akhir.

Meskipun menang, ketua jurulatih Ahmad Jais Baharun menegaskan aspek pertahanan masih perlu diperbaiki walaupun prestasi pemain semakin baik.

"Terdapat beberapa kelemahan yang perlu kita perbaiki menjelang saingan separuh akhir pada pagi esok mungkin daripada segi kawalan bola dari segi transball dan juga daripada segi serangan pertahanan itu antara beberapa perkara yang akan kita perbaiki untuk persiapan kita ke peringkat separuh akhir esok.

"Kalau kita tengok daripada segi serangan pasukan korea juga mereka mempunyai tekong yang berpotensi dan ini perkara-perkara dari segi pertahanan yang perlu kita perkemaskan lagilah khususnya untuk mengangkat firstball", katanya.

Malaysia bakal berdepan India dalam aksi separuh akhir yang dijadual berlangsung pukul 10.00 pagi esok.

Skuad negara sebelum ini cemerlang membuka saingan peringkat kumpulan menumpaskan Brunei 3-0 dan kemudian menundukkan Jepun dengan keputusan sama pada Jumaat.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD