KUALA LUMPUR, 17 Mei - Bekas pemain Manchester United, Ryan Giggs percaya keseimbangan antara pemain tempatan dan pemain import merupakan faktor utama dalam meningkatkan daya saing liga bola sepak, termasuk di Malaysia.
Menjadikan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebagai rujukan, bekas bintang antarabangsa Wales itu menjelaskan bagaimana kehadiran bakat luar telah menjadikan saingan EPL lebih seimbang, dengan banyak kelab kini berupaya bersaing di tahap tertinggi.
“Kehadiran pemain import memberi banyak manfaat. Kita dapat belajar daripada cara mereka bermain, pendekatan mereka, dan sebaliknya mereka juga boleh memahami budaya serta nilai yang dipegang pemain tempatan,” katanya pada satu sidang media bersempena promosi Piala Cabaran Maybank 2025 di ibu kota, hari ini.
Perlawanan tersebut bakal menemukan gergasi bola sepak England, Manchester United dengan pasukan pilihan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini.
Giggs merupakan salah satu pemain paling ikonik dalam sejarah Manchester United dan juga bola sepak dunia.
Bekas pemain sayap itu memulakan karier profesionalnya bersama Manchester United pada tahun 1990 ketika berusia 17 tahun, di bawah kendalian Sir Alex Ferguson.
Sepanjang 24 tahun bersama United, beliau mencatat 963 penampilan iaitu satu rekod tertinggi dalam sejarah kelab dan menjaringkan 168 gol.