KUALA LUMPUR, 17 Mei - Legenda Manchester United, Ryan Giggs, menyifatkan kunjungan skuad Red Devils ke Malaysia sebagai detik istimewa buat peminat bola sepak tempatan apabila lebih 56,500 tiket telah terjual menjelang perlawanan menentang ASEAN All Stars pada 28 Mei ini.
Perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu mencatat sambutan memberangsangkan, dengan penganjur menjangkakan kapasiti penuh menjelang sepak mula.
Giggs yang berada di Kuala Lumpur selama dua hari berkata, kehadiran Manchester United bukan sekadar kunjungan pra-musim biasa, malah menjadi peluang yang berharga kepada peminat.
"Saya pernah terlibat dalam perlawanan sebegini. Ia bukan sahaja memberi pendedahan kepada pasukan lawan, tetapi memberi peluang kepada peminat melihat pemain kegemaran mereka depan mata. Itu pengalaman yang tidak ternilai." katanya yang berkhidmat selama 24 tahun bersama United.
United, di bawah kendalian Ruben Amorim, memilih Malaysia sebagai destinasi utama jelajah Asia mereka tahun ini, selepas menilai beberapa lokasi lain termasuk Indonesia dan Thailand.
Ini merupakan kemunculan semula Red Devils di Bukit Jalil selepas kali terakhir menentang Pilihan Malaysia pada 2009.
Selepas pertemuan dengan ASEAN All Stars, United dijadual meneruskan aksi menentang pasukan kebangsaan Hong Kong sebelum berlepas ke Sweden dan Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siri jelajah mereka.
Pasukan ASEAN All Stars akan dibimbing Kim Sang Sik dari Vietnam dan senarai akhir pemain dijangka dikeluarkan dalam masa terdekat.