fb fb fb fb fb

Badminton Terbuka Thailand: Pearly-Thinaah mara ke final super 500 pertama karier

Pearly Tan dan M.Thinaah bijak memanfaatkan aksi tidak konsisten lawan terutama pada set kedua

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Beregu wanita negara, Pearly Tan-M.Thinaah mara ke pentas akhir pertama kejohanan bertaraf Super 500 selepas menewaskan lawan dari Jepun dalam aksi separuh akhir Terbuka Thailand 2024, hari ini.

Gandingan pilihan utama kejohanan itu tidak berdepan masalah mengetepikan pasangan muda, Rui Hirokami-Sayaka Hobara dengan kemenangan straight set 21-18, 21-12 dalam masa 45 minit.

Pearly-Thinaah, yang kini berada di ranking ke-13 dunia, menguasai permainan sejak awal dan memperagakan persefahaman mantap di gelanggang.

Harapan negara juga bijak memanfaatkan aksi tidak konsisten lawan yang berada di ranking ke-244 dunia terutama pada set terakhir.

Mereka dijadual menentang pasangan bukan pilihan dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo, yang kini menghuni ranking ke-105 dunia, dalam aksi akhir pada Ahad.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD