fb fb fb fb fb

Malaysia hos Piala Dunia Boling Padang 2025

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mei - Malaysia bakal melakar sejarah apabila dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025 yang dijadual berlangsung di ibu negara dari 4 hingga 8 Nov ini.

Pemilihan itu dianggap satu pengiktirafan besar kepada negara apabila badan induk Boling Padang Dunia memberi kepercayaan kepada Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) untuk menganjurkan kejohanan berprestij tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata peluang ini tidak harus disia-siakan kerana ia membuka ruang kepada atlet tempatan untuk merasai pengalaman bertanding di pentas dunia tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi bagi ke luar negara.

“Perbadanan Stadium akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kejohanan ini berlangsung dengan lancar. Ini adalah peluang besar buat negara, apatah lagi kebanyakan pasukan bertanding merupakan dari negara Komanwel,” katanya selepas merasmikan Fiestabowls Segambut 2.0 di Bukit Kiara di sini hari ini.

Sebanyak 12 negara bakal berentap dalam kejohanan itu, antaranya Australia, England, New Zealand, Scotland, Afrika Selatan, Kanada, India, Hong Kong, Ireland, Amerika Syarikat, Wales dan Malaysia selaku tuan rumah. - BERNAMA

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD