PETALING JAYA, 17 Mei - Kejohanan Liga Puteri kekal berperanan sebagai medan utama kelab bola sepak profesional dalam mencungkil bakat baharu pemain wanita.
Saingan itu juga sebagai titik permulaan bagi pelapis muda untuk melangkah lebih jauh dalam karier bola sepak, khususnya melalui sokongan dan penyertaan daripada persatuan-persatuan bola sepak.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, melalui liga ini, kesemua pemain akan didedahkan dengan program pembangunan tersusun dan berkesan.
“Kita di FAM bersama persatuan-persatuan negeri telah menganjurkan pelbagai liga, jadi masa depan pemain ini tidak terhad kepada Liga Puteri sahaja. Mereka boleh beraksi dengan kelab atau pasukan lain yang lebih kompetitif.
“Kalau mereka tunjukkan perkembangan positif, tidak mustahil kita boleh bawa mereka ke tahap yang lebih tinggi.” katanya selepas merasmikan majlis pembukaan Liga Puteri di Padang PKNS di sini hari ini.
Sebanyak 16 pasukan bawah 16 tahun (B-16) bakal berentap dalam saingan Liga Puteri musim ini bagi merebut slot ke dua divisyen utama iaitu Divisyen Elit dan Divisyen 1.
Kesemua pasukan akan beraksi dalam peringkat kelayakan yang dibahagikan kepada empat kumpulan, dengan setiap pasukan dijadual bermain tiga perlawanan, sekali gus menjadikan saingan kali ini lebih kompetitif.