BANGKOK, 17 Mei-Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi mempamerkan aksi cemerlang selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Terbuka Thailand sebentar tadi.
Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Nimibutr, Bangkok, gandingan pilihan kedua kejohanan itu tidak berdepan masalah besar untuk mengenepikan pasangan tuan rumah yang juga pilihan kelima kejohanan, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, menerusi kemenangan straight set 21-17, 21-13 dalam masa 38 minit.
Mereka kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir yang mempertemukan gandingan pilihan utama dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dengan pasangan muda Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer, yang dijadual berlangsung petang ini.
Terbuka Thailand yang dikategorikan sebagai kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah USD420,000 atau (RM1.98 juta).