BANGI, 17 Mei-Kejohanan Bola Sepak bersempena dengan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Wilayah Persekutuan (MAKSWIP) 2025 membuka tirai pada Jumaat membabitkan penyertaan lebih 20 agensi kerajaan dari seluruh Wilayah Persekutuan.
Kejohanan selama tiga hari itu berlangsung di dua venue utama iaitu Padang Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang dan Padang Institut Latihan Sultan Ahmad Shah (ILSAS), di sini.
Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah RTM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta beberapa agensi utama lain.
Objektif penganjuran kejohanan bukan sahaja bermatlamat mencungkil bakat sukan dalam kalangan penjawat awam, malah memperkukuhkan silaturahim dan kerjasama antara jabatan serta agensi kerajaan.
Pertandingan dijalankan menerusi format kumpulan sebelum memasuki peringkat kalah mati, dengan pasukan terbaik bakal merebut kejuaraan serta membawa pulang piala pusingan.
Acara bola sepak menjadi antara acara tumpuan dalam kalendar Sukan MAKSWIP 2025 yang turut merangkumi pelbagai sukan lain seperti badminton, bola jaring, ping pong dan e-sukan.
Penganjuran edisi tahun ini dianggap antara yang paling meriah dan menyeluruh dalam sejarah MAKSWIP, menggambarkan komitmen tinggi penjawat awam terhadap gaya hidup sihat dan nilai perpaduan.