fb fb fb fb fb

Arsenal sedia pecah rekod perpindahan - Arteta

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta / Foto REUTERS

LONDON, 17 Mei-Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dilaporkan bersedia memecahkan rekod perpindahan kelab utara London itu demi mendapatkan seorang penyerang bintang bagi memperkuatkan cabaran pasukan berkenaan musim depan.

Arsenal dikatakan memiliki bajet sekitar £100 juta Pound atau (RM630 juta) untuk digunakan pada jendela perpindahan dan kini dikaitkan dengan beberapa nama besar seperti Benjamin Sesko (RB Leipzig), Viktor Gyokeres (Sporting Lisbon) dan Alexander Isak (Newcastle).

Selepas gagal mendapatkan Ollie Watkins dari Aston Villa pada Januari lalu, Arteta dilaporkan sedia berbelanja besar demi memastikan Arsenal mampu membawa penyerang baharu ke kelab tersebut.

"Apabila anda merancang bajet, ia seperti kahwin dengan isteri anda.

"Anda merancang bajet tapi akhirnya sentiasa ada lebihan," kata Arteta.

"Begitu juga bila bina rumah, kosnya selalu meningkat. Banyak perkara tak dijangka, seperti kecederaan pemain.

"Tapi kami ada perancangan, idea dan keutamaan. Kita lihat apa yang boleh direalisasikan", jelasnya.

Arteta menganggap penyerang baharu sebagai keutamaan selepas Kai Havertz yang tidak bermain hampir empat bulan kekal sebagai penjaring terbanyak liga kelab itu dengan hanya sembilan gol.

Arteta turut menepis spekulasi kononnya wujud perbalahan dengan Pengarah Sukan baharu Arsenal, Andrea Berta yang menggantikan Edu Mac lalu.

"Kalau berlaku perselisihan, itu bermaksud kami tak cukup jelas dalam komunikasi dan saya jamin perkara itu tidak berlaku," katanya.

"Kami belajar banyak dari musim lalu. Ada pembelian yang berjaya, ada yang tidak. Kami perlu buat keputusan yang tepat", tambahnya.

Arsenal kini di tangga kedua liga dan hanya memerlukan dua mata daripada baki dua perlawanan untuk mengesahkan tiket ke Liga Juara Eropah musim depan.

Namun, dengan kelebihan perbezaan jaringan, satu mata sahaja sudah cukup untuk memastikan kedudukan lima terbaik, sekali gus menjamin kempen Eropah musim depan.

Musim ini menyaksikan kempen The Gunners diganggu kecederaan beberapa tonggak utama termasuk Kai Havertz, Bukayo Saka, Gabriel Jesus dan kapten pasukan Martin Odegaard, sekali gus menyumbang kepada kemarau kejuaraan buat kelab tersebut.

Kehilangan ramai pemain utama turut menyebabkan Arsenal gagal menyaingi juara liga, Liverpool, dan tersingkir di separuh akhir Liga Juara Eropah kepada Paris Saint-Germain (PSG).-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD